Monday 23 January 2017

TRAGEDI 28 DISEMBER PENGUAT HATI-HATI ANAK MELAKA MESIR

 KAHERAH, 29 Disember 2016 - Rumah Melaka Sementara Hayyu Sabi' sekali lagi telah menjadi saksi himpunan sebilangan besar anak-anak Melaka bermunajat dan bersolidariti sempena memperingati sejarah hitam penarikan pengiktirafan Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir oleh mantan Ketua Menteri Melaka sejak enam tahun yang lalu.

     Sebelum tirai majlis pada malam itu dimulakan, telah diadakan slot rohani di Surau Al-Azim seawal jam 5.30 petang dengan menunaikan solat fardhu maghrib, bacaan yasin, solat fardhu isyak dan solat sunat hajat perdana secara berjemaah sempena menghadapi imtihan yang diimamkan oleh Ustaz Muhammad Akram bin Mamad selaku Ketua Unit Dakwah BKKIMM sesi ini dan diakhiri dengan bacaan doa agar seluruh mahasiswa/wi Melaka dipermudahkan oleh Allah S.W.T sepanjang hari peperiksaan.


     Seterusnya, majlis diteruskan di sutuh RMS yang dikendalikan oleh saudara Zulhilmi Aziz bin Abdul Hannan dan saudari Nur Syafiqah binti Mohamed Nasir selaku pengerusi umum majlis tersebut. Majlis pada malam itu diserikan lagi dengan kehadiran Yang Dipertua dan Raisah Bkan taakhi Selangor dan Pahang serta Bkan Perak sebagai tanda solidariti. Bermula dengan slot luahan jiwa ahli berkenaan sejarah hitam yang berlaku disebalik peristiwa pada tanggal 28 Disember 2010. Setelah itu, slot kemuncak iaitu Ceramah Khas bertajuk "BKKIMM Kesatuan Kami" telah disampaikan oleh pengisi khas Ustaz Ahmad Baihaqi Bin Rasyid, mantan penasihat Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Islam Pahang (BKMIP).

    Sebelum berakhir, majlis dihangatkan lagi dengan beberapa kesimpulan dari slot pengisian tersebut oleh hadirin dan hadirat yang hadir. Penghujung majlis tersebut, sebuah video telah ditayangkan yang menggambarkan bahawa BKKIMM tetap terus bergerak walau pelbagai ujian yang melanda dengan adanya penyokong dan pendokong dari generasi ke generasi. Majlis diakhiri dengan jamuan sebagai penutup tirai yang disediakan oleh pihak penganjur Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir.

     Pihak BKKIMM mengucapkan setinggi penghargaan kepada seluruh anak Melaka di Mesir serta barisan pelaksana program yang bertungkus lumus  dalam menjayakan program pada kali ini.


     Semoga semangat dalam jiwa seorang pemuda yang ada dalam diri mahasiswa/wi Anak Melaka dapat digerakkan sebaiknya selari dengan ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Terutama sekali dalam memastikan hak mahasiswa/wi Melaka Mesir terus terjaga dan melibatkan diri dalam setiap aktiviti dakwah Islam yang dilaksanakan oleh BKKIMM selari dengan seruan Al-Azhar iaitu berilmu dan beramal. Semoga Allah S.W.T menyatukan hati-hati kita dalam satu barisan bagi mempertahankan bahtera BKKIMM ini agar terus bergerak tanpa henti dalam menabur kebajikan kepada seluruh mahasiswa/wi Melaka serta dikurniakan kejayaan dalam peperiksaan.


" Sahsiah Diungguli, Kebersamaan Dilestari"
"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"

#BKKIMM Kekuatan Kami
#BersamaBersatu

Disediakan oleh:
Abdul Wafi bin Abdul Aziz
Timbalan Yang Dipertua,
(Ketua Unit Perancang dan Panitia)

No comments:

Post a Comment