Sunday 11 September 2016

LUAHAN ISU PENEMPATAN ANAK MELAKA KE PERINGKAT DUTA MALAYSIA DI MESIR


Kaherah, 10 September 2016 - Sebuah pertemuan rasmi telah diadakan oleh pimpinan Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) dengan Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir, T.Y.T Dato’ Ku Jaafar Ku Shaari di pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah (KBMK) pada 7 September yang lepas. Pertemuan tersebut diketuai oleh Yang Dipertua BKKIMM, Saudara Ahmad Razin Bin Mohd Fauzi diiringi beberapa orang wakil AJKT dan penasihat. Pertemuan ini bertujuan membawa permasalahan yang berlaku kepada mahasiswa anak Melaka di Mesir iaitu isu penempatan.

Perbincangan telah dimulakan dengan penerangan daripada saudara Abdul Wafi bin Abdul Aziz Setiausaha Agung BKKIMM berkenaan kronologi masalah penempatan yang berkait rapat antara Rumah Melaka Sementara (RMS), Wisma Seri Melaka (WSM) dan Wisma Melaka (WM) dimana telah berlarutan sejak tahun 2014 sehingga kini. Turut disebut dalam penerangan tersebut peristiwa 1 September yang lepas iaitu kejadian cubaan menghalau penghuni anak-anak Melaka daripada bangunan RMS.

     BKKIMM menzahirkan kekesalan dan kebimbangan terhadap masalah yang dihadapi oleh anak Melaka terutamanya penghuni RMS yang turut melibatkan pelajar baru yang masih menunutut di Markaz Bahasa Arab, Al-Azhar  daripada sudut keselamatan, kewangan dan pendidikan sekiranya terpaksa keluar mencari rumah sewa disebabkan RMS ditamatkan kontrak sewaannya. Tambahan pula, dalam keadaan Wisma Melaka yang sepatutnya bakal menempatkan anak-anak Melaka pada tahun ini masih belum siap sepenuhnya dan WSM yang telah dikecilkan kapasiti penghuni. Dato’ Duta turut memberi pandangan dan meluahkan rasa kebimbangan terhadap masalah yang berlaku kepada anak-anak Melaka ini. Beliau berjanji akan memanjangkan hal ini dan menasihatkan Pegawai Atase Melaka agar mengambil serius akan permasalahan ini.

     Dikesempatan itu juga, YDP BKKIMM telah memaklumkan kepada dato’ Duta tiga cadangan penyelesaiaan yang telah dibawa kepada pihak En. Muhd Anwar bin Idris dalam pertemuan semasa peristiwa 1 September yang lalu semasa beliau meminta masa dan cadangan untuk berbincang dengan Setiausa Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Iaitu yang pertama BKKIMM mencadangkan pihak MAIM memanjangkan kontrak sewaan RMS sehingga Wisma Melaka (WM) siap dibina. Kedua sekiranya kontrak RMS tidak dapat dipanjangkan, cadangannya semua penghuni RMS ditempatkan sementara di Wisma Seri Melaka (WSM) sehingga WM siap. Cadangan ketiga pihak BKKIMM meminta pihak MAIM menyambung kontrak RMS dengan bayaran sewa separuh akan ditanggung oleh pihak kerajaan negeri dan separuh kutipan yuran daripada pihak penghuni itu sendiri.

      Pihak Dato’ Duta menyatakan akan cuba untuk berbincang dengan kerajaan negeri Melaka serta membantu sedaya upaya bagi menangani masalah tersebut. Selain itu, berhubung dengan kelewatan tarikh WM disiapkan, pihak kedutaan bercadang untuk berjumpa sendiri dengan pihak al-Attal agar mempercepatkan pembinaan WM mengikut tempoh yang telah ditetapkan. Sebarang penanggguhan akan menyebabkan masalah terhadap anak Melaka seperti yang berlaku sewaktu proses baikpulih Wisma Seri Melaka (WSM) sebelum ini.

      Di akhir pertemuan, Yang Dipertua BKKIMM mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak T.Y.T Dato’ Duta atas kesudian menerima kunjungan rasmi ini. Seterusnya, menyampaikan cenderahati kenang-kenangan kepada beliau. Harapan daripada BKKIMM selaku satu-satunya wadah kesatuan yang mewakili suara anak-anak Melaka di Mesir agar pertemuan ini membuahkan hasil yang positif terhadap isu yang disampaikan dan semoga kerjasama antara kedua-dua belah pihak dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

“MAHASISWA BERHIKMAH, BAKTI DICURAH”
“BKKIMM TETAP DIHATI”

No comments:

Post a Comment