Wednesday 24 August 2016

BKKIMM MEMBAWA KESEPAKATAN ANAK MELAKA KEPADA PIHAK BERWAJIB


MELAKA, 24 OGOS 2016 - Pertemuan rasmi wakil pimpinan Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) bersama En. Ikram bin Ibrahim selaku Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah diadakan pada 16 Ogos 2016 yang bertempat di Pejabat MAIM Bukit Palah Melaka. Pertemuan tersebut diketuai oleh saudara Muhammad Amirul Fitri bin Mazlan, Timbalan Setiausaha Agung (Unit Pendidikan) BKKIMM diiringi saudara Muhammad Daud bin Ashaari.

Agenda pertemuan dimulai dengan perbincangan mengenai kontrak sewaan Rumah Melaka Sementara (RMS) yang kini didiami oleh 68 orang anak Melaka sejak pengubahsuaian Wisma Seri Melaka (WSM) pada tahun 2014. Beliau memaklumkan kerajaan negeri telah memutuskan bahawa kontrak RMS akan ditamatkan pada akhir bulan ogos ini manakala pelajar yang mendiami bangunan tersebut perlu mengambil inisiatif mencari rumah sewa sendiri. Sehubungan itu, pihak BKKIMM mengutarakan beberapa cadangan penyelesaian berdasarkan kesepakatan anak-anak Melaka dalam siri pertemuan yang lepas supaya mendesak kerajaan negeri untuk melanjutkan kontrak sewaan RMS sehingga Wisma Melaka(WM) siap dibina berikutan banyak permasalahan dari aspek keselamatan dan ketidakmampuan pelajar untuk mendiami rumah sewa ataupun semua anak Melaka ditempatkan di WSM sementara WM siap dibina. Dalam masa yang sama, surat rayuan permohonan lanjutan kontrak sewaan RMS telah diserahkan dan beliau berjanji akan memanjangkan permohonan tersebut kepada pihak atasan supaya diperhalusi semula.

Seterusnya, wakil BKKIMM menyerahkan proposal kajian perbandingan kos sara hidup pengajian di beberapa buah universiti terkenal di timur tengah iaitu Mesir, Jordan dan Maghribi yang melibatkan sistem pengajian di pusat-pusat pengajian berkenaan serta yuran dan kos sara hidup secara bulanan dan tahunan. Kajian perbandingan ini dihasilkan rentetan keputusan kerajaan negeri untuk membantu pengajian pelajar di Jordan dan Maghribi sahaja. Pihak BKKIMM melahirkan rasa dukacita terhadap perkara ini dan berharap agar pihak kerajaan negeri dapat membuat penilaian semula terhadap keputusan tersebut dan terus memberikan kebajikan yang sepatutnya kepada anak-anak Melaka yang sedang melanjutkan pengajian di Mesir memandangkan jumlah anak Melaka di Mesir adalah lebih ramai berbanding pusat pengajian timur tengah yang lain.

Setelah itu, wakil BKKIMM turut membentangkan analisa keputusan peperiksaan pelajar pengajian Islam sesi 2015/2016 yang menunjukkan peningkatan peratusan kelulusan yang sangat memberangsangkan berbanding sesi pengajian yang lepas. Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua anak Melaka atas pencapaian tersebut sekaligus menolak tohmahan pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa bahawa ramai pelajar yang terlalu aktif berpersatuan sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap pelajaran.

Sebelum mengakhiri pertemuan, Saudara Muhammad Amirul Fitri bin Mazlan selaku Unit Pendidikan BKKIMM membangkitkan persoalan mengenai perkembangan kelas intensif yang telah diluluskan pelaksanaannya sebelum ini. Respon beliau bahawa setelah beberapa siri perbincangan diadakan bersama pihak atasan, kelas intensif tersebut tidak dapat dijalankan bagi sesi akan datang. BKKIMM mewakili anak-anak Melaka merasa kesal terhadap keputusan tersebut dan berharap supaya ia dipertimbangkan semula demi merealisasikan hasrat kerajaan negeri yang sentiasa mengutamakan kecemerlangan akademik pelajar-pelajarnya
.
Akhir sekali, BKKIMM selaku satu-satunya wadah kesatuan yang mewakili suara anak-anak Melaka di Mesir berharap agar kerajaan negeri dapat meneruskan agenda kebajikan secara adil dan saksama terhadap semua anak Melaka di Mesir dan tidak bersikap prejudis kepada mana-mana pihak. Kita BKKIMM bersedia kerjasama dengan semua pihak dan menghulurkan bantuan terhadap segala usaha kerajaan negeri demi memastikan kecemerlangan akademik dan kebajikan anak Melaka Mesir terus terpelihara. Semoga kerjasama yang sedia terjalin ini dapat diteruskan lagi sehingga masa akan datang.

"MAHASISWA BERHIKMAH BAKTI DICURAH"
"BKKIMM TETAP DI HATI"

Disediakan oleh,
Timbalan Setiausaha Agung,
Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir
Sesi 2015/2016

No comments:

Post a Comment